Our First Baby:

Lilypie First Birthday tickers

My birthday:

My hubby birthday:

How long we have been married:

  • Daisypath Anniversary tickers

Monday, December 23, 2013

TALI PUSAT KE SUSU IBU

Jong sarat kain bertulis,
Pakaian Raja Bugis Makassar
Di Loh Mahfuz sudah tertulis,
Janji tidak dapat ditukar.

 Sesungguhnya sebagai orang Islam kita percaya kepada qada’ dan qadar. Allah memberikan kita ketentuan cuma Allah tidak bukakan maklumat itu untuk kita ketahui lebih awal. Tujuannya supaya kita tidak mudah berputus asa dengan ujiannya. Allah juga tidak menyuruh kita berserah dan bergantung kepada nasib semata-mata, walaupun semua itu sudah tertulis seperti yang diungkapkan di dalam pantun di atas.

Allah sentiasa memberikan kita rezeki pada setiap saat. Itulah kasih sayang Allah. Cuma kita tidak sedar dan adakalanya rezeki itu tidak kelihatan. Rezeki seringkali dilihat hanya yang berbentuk material.

Apabila kita dapat makanan, kita namakan rezeki.

Apabila kita dapat imbuhan dalam bentuk wang, kita namakan rezeki.

Apabila mendapat wang yang tidak disangka-sangka, kita namakan rezeki terpijak.

Pendek kata, ada banyak cara rezeki masuk ke dalam kehidupan kita. Namun, bukan itu sahaja yang dinamakan rezeki.

Wang itu sebahagian daripada rezeki, tetapi rezeki itu tidak semestinya di dalam bentuk wang. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Hakikatnya, wang juga mungkin datang bukan sebagai suatu rezeki tetapi merupakan suatu ujian kepada kita. Ramai antara kita yang menganggap musibah, tragedi dan sesuatu yang mengecewakan itu sebagai ujian sehingga kita lupa bahawa sesuatu yang tidak berpihak kepada kita juga merupakan suatu rezeki.

Bagaimana hendak membezakan yang mana rezeki dan yang mana ujian? Pada saya, mudah sahaja. Berbaik sangkalah kepada Allah. Allah itu Maha Mengetahui. Dia tahu mengapa sesuatu perkara itu terjadi kepada kita dan mengapa kita mesti mengalaminya. Lihatlah kehidupan ini dari sisi yang positif sepanjang masa.

Kembali kepada soal rezeki, tidak semestinya apabila kita memegang jawatan tinggi bererti rezeki kita besar. Ya, mungkin kita mendapat wang yang banyak, iaitu imbalan kepada tanggungjawab tinggi yang mesti dilunaskan. Persoalannya, apabila Tuhan memberi rezeki, Allah akan tanya nanti : apa yang kita buat dengan rezeki yang banyak itu?

Masih ingatkah kepada kisah Nabi Musa dan tongkatnya? Ketika Allah bertanya, wahai Musa, kamu sedang bersandar pada apa? Jawabnya, “Aku sedang bersandar kepada tongkat ini, ya Allah.” Tuhan menegur Nabi Musa, mengapa kamu bersandar kepada sesuatu yang tidak kekal?

Ya Allah, teguran itu seharusnya menjentik jiwa kita juga. Seringkali kita bersandar iaitu bergantung kepada sesuatu yang bersifat sementara. Kita terlupa bergantung kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih kekal, iaitu Allah SWT.

Ingatkan kembali kisah Nabi Musa itu. Sewaktu Nabi Musa dikejar oleh tentera Firaun dan ketika baginda terperangkap antara tentera dan Laut Merah, Allah telah memerintahkan Nabi Musa membelah laut menggunakan tongkat yang sama.

Nah, apakah iktibar daripada kisah ini? Allah telah mentarbiah Nabi Musa supaya menggunakan tongkat itu sebagai alat untuk baginda dan umatnya menyelamatkan diri dan meneruskan kehidupan. Namun, jangan sesekali bergantung seratus peratus kepada alat itu. Usaha tetap usaha. Allah memerintahkan Nabi Musa memukul Laut Merah dengan tongkatnya. Bukanlah duduk termenung tepi laut tanpa melakukan apa-apa. Allah hanya akan menolong sesiapa sahaja yang menolong dirinya terlebih dahulu.

Usaha.

Doa.
Tawakkal.

Demikianlah kita dengan wang dan rezeki. Wang itu boleh jadi suatu ujian yang memporak peranda kasih sayang dan persahabatan. Adakalanya kita lebih banyak bergantung kepada Allah SWT pada saat kita tidak memiliki apa-apa. Tautan kepada tali Allah itu terasa amat akrab! Saat kita terasa bahawa rezeki kita sedang ditarik, yakinlah bahawa Allah sudah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita.


Ketika kita masih bayi, sebaik-baik sahaja kita lahir ke dunia, sumber rezeki kita yang utama dengan ibu kita diputuskan –tali pusat. Bukankah sesudah itu, kita mendapat susu lazat dari sumur bonda yang dicinta?


Berbaik sangkalah kepada Allah kerana Dia yang Maha Mengetahui!


Terang bulan di pintu kurung,

Cahayanya sampai di daun kayu;

Kalau Allah hendak menolong,

Angin pasang kapal pun laju.

No comments:

Post a Comment